Jangan Malu Nak Jadi Lelaki Romantik, Ini 10 Cara Terbaik Nabi Saw Layan Isteri.

Walaupun suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pelbagai pekerjaan yang tidak pernah selesai, jangan diabaikan sikap romantik dalam hubungan suami isteri kerana ia merupakan elemen terpenting dalam mewujudkan rumah tangga bahagia.

Sebenarnya tak susah mana pun untuk menjadi suami romantik. Bagi segelintir suami yang malu atau mungkin tidak tahu cara-cara untuk bersikap romantis dengan isteri, apa kata jadikan amalan Nabi SAW ini sebagai contoh. Semoga resipi ini boleh memberi kebahagiaan yang berkekalan dalam rumah tangga anda berdua.

1. Jadikan rutin harian mencium isteri

Hati isteri mana yang tak berbunga kalau suami memberikan ciuman kepadanya. Pasti hati yang gundah bertukar menjadi bahagia. Amalan yang disarankan oleh Nabi SAW kepada suami untuk mencium isteri ini haruslah dijadikan rutin harian. Malah mencium isteri merupakan satu ibadah yang boleh dijadikan senjata ampuh untuk anda berdua mengekalkan romantis dan sebagai pembenteng untuk melawan segala godaan.

2. Mandi bersama isteri

Isteri jangan sesekali menolak atas alasan malu jika suami mengajak anda untuk mandi bersama. Amalan yang disarankan oleh Nabi SAW ini memberi banyak manfaat untuk keharmonian rumah tangga. Bukan hanya mandi biasa, mandi bersama pasangan juga boleh diamalkan ketika mandi hadas besar.

3. Berkongsi makanan atau makan lebihan isteri

Apabila suami isteri mampu untuk berkongsi makanan dalam bekas yang sama ataupun makan lebihan pasangan, ini menggambarkan betapa teguhnya cinta anda berdua. Tindakan ini dapat melahirkan keyakinan yang penuh antara suami isteri di mana anda berdua tidak berkira atau berasa jijik terhadap lebihan makanan pasangan sehingga menganggap ia seperti lebihan makanan anda sendiri. Nabi SAW pernah mengambil bekas minuman Aisyah lalu meletakkan mulut baginda pada tempat Aisyah meletakkan mulut pada bekas tersebut.

4. Sering berikan isteri hadiah

Hadiah merupakan daya pemikat untuk melunakkan hati. Apabila suami memberikan hadiah, ini membuatkan isteri rasa dihargai apabila menerimanya bahkan ada ketika pemberian hadiah boleh menghapuskan amarah. Nabi SAW sering memberikan hadiah kepada isterinya bagi tujuan untuk melahirkan perasaan kasih sayang antara suami isteri.

Ini disandarkan kepada hadis daripada Ummu Kalsum yang bercerita: “Ketika Nabi SAW baru berkahwin dengan Ummu Salamah, baginda berkata kepadanya, “Sesungguhnya aku telah menghantar hadiah kepada An-Najasyi dengan pakaian berharga dan beberapa botol minyak wangi. Aku dapati bahawa An-najasyi sudah meninggal dunia, menyebabkan hadiah itu dipulangkan balik kepadaku. Jika hadiah itu dipulangkan kepadaku, maka hadiah itu adalah milik kamu.” Berkata (Ummi Kalsum) dalam riwayat lain; seperti sabda Nabi SAW: “Jika hadiah itu dihantar balik, hadiah itu akan diberikan kepada semua isteri-isteri baginda, dan baginda memberikan Ummu Salamah minyak wangi yang berbaki dan pakaian bernilai itu.”

5. Menemani isteri dalam perjalanan

Suami yang mencintai isteri tentu sahaja akan memastikan keselamatan isterinya sentiasa terjamin. Ambillah tahu tentang apa yang isteri lakukan kerana pastinya isteri akan rasa selamat berada di bawah naungan suami.

6. Tidak akan menerima jemputan tanpa adanya isteri

Kebahagiaan rumah tangga tidak sekadar wujud dengan adanya kemesraaan suami isteri tetapi ia turut disalurkan menerusi penghargaan suami terhadap isteri. Antara cara Nabi SAW bertindak mewujudkan perasaan kebanggaan isteri baginda adalah dengan menghadiri sesuatu majlis tertentu yang juga disertai oleh isteri baginda.

Ini disandarkan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW mempunyai seorang jiran berbangsa farsi dan pandai memasak lauk berkuah. Dia telah memasak untuk dihidangkan kepada Nabi SAW. Lalu dia menjemput Nabi. Nabi berkata: “Apakah Aisyah dijemput sama?” Dia menjawab: “Tidak”. Nabi berkata: “Kalau begitu, aku pun tidak akan menerima jemputan itu.” Dia pun pulang dan datang kembali menjemput. Nabi SAW berkata: “Apakah Aisyah dijemput sama?” Dia berkata lagi: “Tidak”. Nabi SAW berkata: “Kalau begitu, aku tidak akan menerima jemputan ini.” Dia pulang dan datang lagi menjemput. Nabi berkata: “Apakah Aisyah dijemput?” Dia menjawab: “Ya” pada kali ketiga. Nabi dan Aisyah pun bangun dan sama-sama ke rumahnya.

7. Suami menyuapkan makanan dalam mulut isteri

Saling suap-menyuap antara suami isteri pasti menyeronokkan kerana ia boleh membangkitkan rasa kecintaan dan suasana romantis dalam rumah tangga. Malah ia juga akan mewujudkan kemesraan antara anda berdua.

Nabi SAW bersabda: “Tidaklah kamu memberi satu nafkah pun yang kamu niatkan untuk menghadap wajah Allah SWT kecuali kamu akan diberi pahala ke atasnya, hingga apa yang kamu letakkan pada mulut isterimu.”

8. Mesra dengan isteri walaupun isteri sedang haid

Haid merupakan fitrah wanita yang tidak boleh dinafikan. Apabila isteri didatangi haid, ia bukanlah penghalang untuk suami bermesra dengan isteri seperti tidur di ribaan isteri, tidur bersama dalam satu selimut dan sebagainya. Malah dalam satu yang riwayat diceritakan bahawa Nabi SAW pernah meminta Aisyah untuk menghangatkan tubuhnya padahal Aisyah dalam keadaan haid.

9. Memberi ‘panggilan simpanan’ manja untuk isteri

Memanggil pasangan dengan nama yang baik dan disukainya akan menambahkan lagi romantis dalam hubungan suami isteri. Suami perlu menyediakan ‘panggilan simpanan’ yang lebih mesra dan manja berbanding panggilan mesra harian untuk isteri. Ia bukan untuk digunakan secara harian tetapi sebagai panggilan untuk memberi ruang kepada hati perempuan menilai cinta di kala menghadapi krisis. Nabi SAW sendiri memanggil isteri dengan panggilan biasa tetapi dalam keadaan tertentu, Nabi SAW menjadikan panggilan manja sebagai senjata tajam dalam melahirkan kemesraan.

Seringkali Rasulullah memanjatkan Aisyah dengan ucapan “Wahai Humaira” (panggilan sayang untuk Aisyah).

10. Bantu isteri ketika menaiki kenderaan

Cara ini sama sekali tidak merendahkan martabat suami jika suami membantu isteri menaiki kenderaan seperti membuka pintu buatnya. Ia sebenarnya memperlihatkan akhlak mulia yang dapat memupuk sikap prihatian suami terhadap isteri sebagai balasan sikap hormat dan ketaatan isteri terhadap suaminya.

Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa: “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda membengkokkan lututnya. Lalu isteri baginda, Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik ke atas unta”.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

 

Sumber: PesonaPengantin

Facebook Comments

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*